Pemujaan Nenek Moyang - Bacaan Lanjut

Penganut Buddha akan memberikan penghormatan kepada saudara-mara dan ahli keluarga yang meninggal dunia sehingga tujuh keturunan ke atas. Bhiksu-bhiksu akan dijemput ke rumah dan membacakan sutra berbahasa Pali sepanjang malam. Mereka akan membaca sutra tanpa henti dan tidak tidur kerana pintu neraka dibuka setahun sekali. Bacaan sutra selalunya menyentuh mengenai Dharmaraja Yama, penguasa kematian.

Ketika itu, pretam atau bayangan orang mati akan mula keluar dan mengambil sajian makanan yang disediakan untuk mereka. Terdapat juga roh orang mati yang mengambil peluang mendapatkan kelepasan terus dari tempoh alam antara kematian dan kehidupan. Sementara roh-roh lain pula keluar dari neraka untuk sementara waktu sahaja sebelum mereka ditangkap dan dibawa balik semula ke neraka bagi mengalami penderitaan kesan dari karma mereka. Upacara pemujaan nenek moyang ini dipercayai memberikan kebaikan kepada keluarga yang sudah meninggal dunia walaupun mereka tidak menjelma dalam neraka.

Di biara pula, sembahan sajian makanan diperbuat oleh upasaka kepada bhiksu yang masih hidup bagi pihak keluarga yang telah meninggal dunia. Pahala yang diterima akan disedekahkan kepada ahli keluarga yang meninggal dunia itu. Kadang-kala sembahan sajian makanan akan terus dihantar kepada ahli keluarga yang telah meninggal. Contohnya, pulut kepal akan dilempar ke sungai atau padang kosong terutamanya di kawasan-kawasan terpencil.

Upacara ini kelihatan selari dengan upacara yang dijalankan dalam perayaan Ullambana oleh penganut Buddha Utara atau pengikut aliran Mahayana. Perbezaannya cuma pada bulan pemujaan ini dijalankan kerana kaum Utara menjalankan pemujaan pada bulan Julai atau bulan Ogos mengikut kalender lunar. Selain itu, jika diamati ia juga hampir selari dengan amalan Pitru Bali yang diamalkan oleh pengikut tradisi Brahman.