Ringkasan Ullambana Sutra

Mahamogallana ini sebenarnya adalah seorang pedagang Brahmin yang melepaskan perniagaan beliau demi menjadi penganut ajaran Buddha. Selepas mencapai arahat, beliau pun bersamadhi dan terfikir mengenai ibu bapa beliau. Beliau ingin mengetahui apakah yang berlaku kepada mereka? Beliau kemudian meraga sukma lantas menjelajahi alam Buddha dan menemui bapa beliau di kayangan. Namun, beliau mendapati bahawa ibu beliau berada dalam alam petala neraka terjelma menjadi seekor preta. Ibu beliau menderita tidak dapat makan kerana tekaknya yang kurus dan makanan akan berubah menjadi api apabila masuk ke rongga mulut beliau. Walaupun sering lapar, perut ibu beliau masih lagi gendut. Hal ini adalah kesan karma buruk yang disebabkan oleh sifat tamak ibu beliau. Ibu beliau sering menyonglap wang beliau. Beliau meminta ibu beliau supaya mendanakan wang tersebut kepada bhiksu Buddha yang berpindapata di rumah mereka. Akibat perbuatannya ini, beliau terjelma di alam preta dalam neraka avici. 

Mahamogallana pun bertemu baginda Buddha memohon sarana. Baginda Buddha mengajarkan beliau supaya menyediakan sembahan Pravarana untuk 500 orang bhiksu dalam Sangha pada hari penghujung tempoh bertapa musim hujan, iaitu pada hari ke-15 dalam bulan ketujuh kalender lunar. Makanan diletakkan di atas piring bersih lalu dibacakan mantra tujuh kali. Kemudian makanan direstui dan Mahamogallana memetik jari beliau sambil menyeru nama ibu beliau. Beliau mencecahkan sedikit makanan ke lantai bersih. Pahala amalan dari dana ini membantu pembebasan ibu Mahamogallana dari petala neraka sedikit demi sedikit. Ibu beliau kemudian menjelma dalam tubuh seekor anjing yang dipelihara oleh keluarga bangsawan. Selepas itu, baginda Buddha mengkhususkan hari ke-14 dalam bulan tujuh kalender lunar itu sebagai hari memberikan dana untuk Sangha berdasarkan kepada amalan Mahamogallana mendanakan makanan dan kain baru kepada 500 orang bhiksu. Mahamogallana menjalankan amalan ini dengan taat sehinggalah ibu beliau menjelma menjadi seorang manusia semula.

Sejarah Ullambana Sutra

Ullambana Sutra adalah sutra aliran Mahayana berkenaan dengan bakti setia terhadap ahli keluarga. Ia diterjemahkan dari bahasa Sanskrit ke bahasa Cina oleh Dharmaraksa dari 265-311 M lalu diberikan judul "Sabda Baginda Buddha tentang Ullambana". Taisho 685 diterjemahkan oleh Dharmaraksa. Rujukan mengenai hal ini boleh dibuat dalam Taisho 686 Jil. 16 Bil. 3 dalam Bahagian Sutra Terkumpul. Taisho 686 diterjemahkan oleh penterjemah yang tidak dikenali semasa zaman dinasti Jin diberi judul, "Sabda Baginda Buddha mengenai Bekas Pindapata untuk Membalas Jasa".

Menurut Karashima, Taisho 686 adalah penyesuaian berbentuk bahasa dari Taisho 685. Ia merakamkan peristiwa yang terjadi selepas selepas salah seorang pengikut baginda Buddha bernama Mahamogallana mencapai Abhijña dan menggunakan pengetahuan tersebut untuk melihat keadaan ibu bapa beliau di alam selepas kematian. Beliau mendapati bahawa ibu beliau berada dalam alam preta dan beliau membantu ibu beliau melalui sarana baginda Buddha. Perayaan Hantu Lapar di Asia Timur adalah berdasarkan kepada sutra ini.

Rujukan Lain-Lain

Rujukan yang lebih tua lagi boleh didapati dalam Petavatthu no. 14 berkenaan dengan ceritera ibu Sariputta. Dalam cetera itu juga disebut bahawa ibu Sariputta menjelma menjadi preta disebabkan oleh karma lima kehidupan lampau beliau. Serupa juga dengan ceritera dalam Sutra Ullambana ini, Sariputta membina empat gubuk yang diisikan dengan makanan serta minuman untuk Sangha dari empat biara. Baginda Buddha hadir ketika itu dan dana diberikan sendiri kepada baginda Buddha bagi membantu mengurangkan kesengsaraan ibu beliau. Pemindahan pahala ini membolehkan ibu Sariputta dijelmakan keluar dari alam preta.

Rujukan lain boleh ditemui dalam Avadanasataka yang menceritakan mengenai Mahamogallana berhubung dengan 500 ekor preta bagi pihak keluarga mereka dan membantu mereka membuat sembahan dana kepada masyarakat Sangha. Sebaik sahaja pemindahan pahala selesai, preta-preta itu pun dijelmakan keluar dari alam sengsara tersebut dan bebas dari kesengsaraan dalam alam itu.