Hantu di Tibet

Kepercayaan terhadap makhluk ghaib memang meluas dalam kebudayaan di Tibet. Hantu juga turut dibicarakan dalam kerangka ajaran Buddha aliran Vajrayana. Alam hantu ini berada di dimensi berbeza namun tetap di atas bumi yang turut dihuni oleh manusia. Ia adalah alam yang bertindih dengan alam lain. Apabila seseorang manusia itu mati, akan berlaku satu tempoh di mana dia akan mengalami kekeliruan dan roh mereka pun masuk ke alam hantu.

Dalam kepercayaan di Tibet, preta atau yidag dikatakan mempunyai kerongkong yang sempit dan perut besar. Oleh itu, mereka tidak akan pernah puas. Preta ini boleh dibunuh dengan keris upacara atau ditangkap dalam perangkap roh. Kemudian, ia akan dibakar dan dibebaskan untuk penjelmaan semula. Hantu boleh dihalau dan perayaan untuk tujuan ini juga diadakan di Tibet setiap tahun.

Ciri-Ciri Hantu

Penganut Buddha di Tibet percaya bahawa apabila seseorang itu mati maka rohnya akan masuk ke keadaan antarabhava atau bardo. Dari alam itu, mereka akan terjelma semula ke alam manusia, alam haiwan atau alam hantu dalam rupa tubuh hantu. Mereka akan terjelma di kayangan atau di neraka dari situ. Kejadian ini akan berulang-ulang apabila tempoh hayat tubuh seseorang itu tamat kecuali jika rohnya itu mencapai nirvana iaitu keadaan yang melepasi segala tahap terikat dengan rupa atau jasad.

Preta ini mempunyai alam mereka sendiri. Hal ini dipaparkan pada Bhavacakra. Mereka diwakilkan dengan titisan air mata atau berbentuk seperti bertih jagung dengan perut kembung dan leher nipis sehingga sukar untuk makan. Sesetengah orang pula menggambarkannya sebagai makhluk bermulut sebesar mata jarum dan perut sebesar gunung. Keadaan ini juga menjadi metafora kepada orang yang mencuba untuk memenuhi hawa nafsu mayanya walaupun perkara tersebut adalah sia-sia sahaja. Kadang-kala manusia hidup pun boleh menunjukkan ciri-ciri makhluk preta ini. Mereka tidak pernah berasa cukup dan sentiasa inginkan lebih daripada apa yang didapati.

Perkataan bahasa Tibet yang menggambarkan keadaan preta ini adalah ser-na bermaksud hidung kuning. Hidung kuning bermaksud kejam dan tidak bermurah hati. Mereka yang berhidung kuning ini sentiasa ingin memperkaya diri sendiri, namun mereka tidak pernah berpuas hati.

Selain itu, terdapat juga nirmita atau tulpa yang merupakan makhluk halus jelmaan pemikiran manusia. Seorang pengamal ajaran Buddha yang mempunyai ṛddhi atau kuasa psikik boleh menjelmakan makhluk ini. Selain itu ia juga boleh dijelmakan oleh seorang ahli sihir atau oleh seluruh penduduk kampung. Makhluk ini pada awalnya tidak mempunyai kesedaran sendiri. Namun, ia boleh mendapat kesedaran berubah menjadi makhluk sebenar.

Menguruskan Hantu

Berikut adalah beberapa cara yang digunakan di Tibet bagi menguruskan hantu:
  • Phurba atau Kīla, keris upacara yang digunakan oleh pengamal tantra untuk melepaskan roh jahat dari penderitaannya dan memandunya ke penjelmaan yang lebih baik. Roh sebegini sering berada dalam kekeliruan dalam alam antarabhava. Dengan menikam keris kepadanya, ia akan tersedar dan mendapat peluang menjelma semula mungkin dalam jelmaan yang rendah daripada manusia.
  • Perangkap Roh, biasanya dipasang di bumbung rumah, berbentuk jaring yang dianyam dengan benang berwarna-warni. Ia boleh juga dipasang di pokok-pokok. Benang yang dijalin itu dikatakan menyebabkan hantu tersangkut. Ia kemudian akan dibakar.
  • Gutor, perayaan pada hari ke-29 pada bulan 12 mengikut kalender Tibet. Ia menumpukan kepada amalan menghalau tenaga negatif termasuklah roh jahat dan kesialan dari tahun yang lepas bagi memulakan tahun baru yang bertuah. Kuil-kuil dan biara di seluruh Tibet akan menganjurkan upacara keagamaan diikuti dengan tarian. Rumah-rumah dibersihkan, bilik-bilik dihiasi dan penduduk makan sejenis mee sup digelar sebagai Guthuk. Pada waktu petang sahaja barulah orang ramai keluar membawa jamung serta membaca mantra menghalau hantu.