Kemerdekaan dari Empayar Seleucid 250 SM

Pada 250 SM, Diodotus iaitu Satrap Bactria dan kemungkinannya juga negeri-negeri di sekelilingnya mengasaskan kerajaan Bactria apabila mereka keluar dari empayar Seleucid yang ketika itu berpusat di Seleucia yang kini berada dalam Baghdad, Iraq.

Diodotus I ditabalkan menjadi raja pertama di Bactria. Sumber-sumber purba yang dipelihara pada beberapa ketika bercanggahan dalam memberikan fakta. Tarikh kemerdekaan sebenar Bactria dari empayar Seleucid masih belum diselesaikan lagi ketetapannya. Ringkasnya, kronologi tinggi menyatakan bahawa keluarnya Bactria dari empayar Seleucid itu adalah pada 255 SM dan kronologi rendah pula menyatakan pada 246 SM.

Kronologi tinggi mempunyai kelebihan dalam menerangkan kenapa Antiochus II, maharaja Seleucid mengeluarkan sedikit sahaja matawang di Bactria adalah kerana Diodotus kemudiannya akan mencapai kemerdekaan pada awal pemerintahan baginda. Kronologi rendah pula mempunyai kelebihan yang menghubungkan keluarnya Bactria dari Seleucid dengan Perang Syria Ketiga, iaitu konflik yang penuh bencana bagi empayar Seleucid.
Diodotus, gabenor ribuan kota di Bactria atau Theodotus, mille urbium Bactrianarum praefectus, berpaling tadah lalu mengyisytiharkan dirinya sebagai raja. Selanjutnya, seluruh penduduk di Timur mengikut langkah beliau dan keluar dari pemerintahan Macedonia. (Justin, XLI,4)
Opulentissimum illud mille urbium Bactrianum imperium yang bermaksud kerajaan baru, yang maju perbandarannya serta dianggap sebagai salah satu yang terkaya di Timur (Justin, XLI,1) kemudian memperkembang lagi kekuasaannya dan terlibat dalam perluasan sempadan ke timur dan ke barat.
Orang Yunani yang menyebabkan Bactria memberontak itu menjadi berkuasa dan disebabkan oleh negara tersebut yang subur telah mengambil kesempatan di atas kesuburannya lalu menjadi tuan-tuan. Mereka bukan sahaja berkuasa di Ariana, tetapi juga di benua kecil India; Seperti yang dibicarakan oleh Apollodorus dari Artemita bahawasanya, "banyak suku kaum yang dikalahkan oleh orang-orang Yunani ini berbanding oleh Iskandar sendiri... Kota-kota mereka adalah Bactra (atau Zariaspa, yang Sungai Zariaspa mengalir melaluinya ke Oxus) dan Darapsa dan beberapa kota lagi. Selain itu, kota Ecuratidia yang dinamakan sempena nama pemerintahnya turut terkenal. (Strabo, XI.XI.I)
Pada 247 SM, empayar Ptolemaic iaitu empayar Yunani yang memerintah di Mesir selepas kemangkatan Iskandar Agung telah menakluki ibukota empayar Seleucid di Antioch. Disebabkan berlaku kekosongan kuasa maka Andragoras, Satrap empayar Seleucid di Parthia (Persia) kemudian mengisytiharkan kemerdekaan dari Seleucid. Beliau mengisytiharkan diri beliau sebagai raja. Dasawarsa kemudian, Andragoras dikalahkan dan dibunuh oleh Arsaces dari Parthia. Hal ini kemudian membawa kepada kemunculan empayar Arsacid atau empayar Parsi Pertengahan. Keadaan ini kemudian menyebabkan Bactria terputus terus dari perhubungan dengan dunia Yunani. Perdagangan daratan terus berlangsung namun ia tidak sebanyak perdagangan dengan jalan laut antara kerajaan Yunani di Mesir dengan kerajaan Yunani di Bactria.

Diodotus I kemudian digantikan oleh anakanda baginda, Diodotus II. Diodotus II kemudian bersekutu dengan empayar Arsacid di Parthia lalu berperang dengan Seleucus II:
Arsaces yang berasa lega dengan kemangkatan Diodotus I lalu membuat perjanjian damai dan menutup perjanjian tersebut dengan pakatan dengan anakanda Diodotus I, yang juga bernama sama dengan baginda. Tidak lama kemudian, baginda berperang melawan Seleucos yang datang untuk menghukum pemberontak namun baginda menang. Orang Parthia (Parsi) bergembira merayakan kejayaan ini yang menandakan kebebasan mereka. (Justin, XLI,4)