Penggulingan Diodotus II 230 SM

Euthydemus, seorang Yunani dari Magnesia dan berkemungkinan menjadi Satrap di Sogdiana telah menjatuhkan dinasti Diodotus I sekitar 230-220 SM sebelum memulakan dinasti beliau sendiri mengikut catitan Polybius.

Euthydemus memerintah dari Sogdiana sehingga ke kota Iskandar Eskhate yang diasaskan oleh Iskandar Agung di Ferghana yang kini berada dalam Tajikistan:
Mereka juga memerintah Sogdiana, berkedudukan di atas Bactriana sehingga ke timur antara Sungai Oxus yang membentuk sempadan antara negara Bactria dengan negara Sogdiana, dan Sungai Iaxartes. Sungai Iaxartes menjadi sempadan pula antara negara Sogdiana dengan rantau bangsa nomad. (Strabo XI.11.2)
Penaklukan Seleucid

Euthydemus kemudian diserang oleh Antiochus II, pemerintah empayar Seleucid sekitar tahun 210 SM. Walaupun baginda memerintahkan supaya pertahanan dijalankan dengan 10,000 tentera berkuda, namun baginda kalah juga dalam pertemuan pertama dengan tentera Seleucid di Arius yang kini terletak sekitar Sungai Herat, Afghanistan. Baginda terpaksa berundur.

Euthydemus bertahan selama tiga tahun dari serangan demi serangan yang dilancarkan oleh empayar Seleucid. Baginda dan pengikut-pengikut baginda bertahan di dalam kota yang dilindungi oleh kubu di Bactra yang kini berada dalam rantau Balkh, Afghanistan. Selepas itu, barulah Antiochus II mengiktiraf Euthydemus lalu mengikat hubungan kekerabatan dengan menawarkan salah seorang daripada puteri baginda kepada Demetrius, anakanda Euthydemus pada tahun 206 SM.

Rekod-rekod klasik juga mengaitkan peristiwa itu dengan rundingan keamanan antara Euthydemus dengan Antiochus III yang memberikan gambaran bahawa baginda layak diberikan penghargaan oleh empayar Seleucid kerana usaha baginda menjatuhkan pemberontak yang sebenar iaitu Diodotus I serta usaha ini menyebabkan Asia Tengah terselamat dari penaklukan bangsa-bangsa tidak bertamadun.
"... kerana jika dia tidak bersedia dengan tuntutan ini, langsung tiada siapa pun daripada mereka yang akan selamat: melihat gerombolan bangsa gasar mendekati sedepa sahaja, yang menjadi bahaya kepada kedua-duanya; dan jika mereka membenarkan kemasukan bangsa gasar itu ke negara, pastilah negara akan menjadi tidak bertamadun". (Polybius, 11.34)