Perhubungan dengan Empayar Han

Euthydemus juga memerintah Sogdiana dan Ferghana di sebelah utara kerajaan baginda. Terdapat juga petunjuk dari Iskandar Eskhata yang mencatitkan bahawa orang Yunani dari Bactria mungkin menghantar kempen ketenteraan sehingga ke Kashgar dan Urumqi yang kini menjadi kota-kota dalam wilayah Xinjiang, Republik Rakyat China. Kempen-kempen ini menyebabkan berlakunya perhubungan antara Barat dan benua China bermula sekitar 220 SM. Strabo, seorang sejarawan Yunani turut mencatitkan bahawa, "Kerajaan Bactria memperluas kekuasaan politik mereka sejauh Serica (China Utara) dan Phryni (Lembah Tarim)". (Strabo, XI.XI.I)

Beberapa patung dan perwakilan askar Yunani boleh ditemui di utara Tian Shan, di pintu masuk ke China dan kini ia dipamerkan di Muzium Xinjiang di Urumqi (Boardman). Pengaruh Asia Barat atau pengaruh Yunani dalam kesenian China juga turut dibincangkan (Hirth Rostivrzeff). Rekaan ukiran bunga corak rosette, garis-garis geometri dan lapisan-lapisan kaca mencerminkan pengaruh-pengaruh Hellenistic, Parsi dan Mesir yang boleh ditemui dalam beberapa jumpaan bahan purba seperti cermin berbingkai gangsa dari dinasti Han awal.

Terdapat juga beberapa orang yang berspekulasi bahawa pengaruh Yunani turut ditemui dalam tapak pengebumian maharaja China yang pertama iaitu maharaja Qin Shih Huang yang bertarikh kira-kira abad ke-3 SM. Jumpaan yang mencerminkan spekulasi ini adalah seperti penghasilan patung-patung tentera Terracotta di wilayah Gansu di China. Hal ini memberikan gambaran bahawa karyawan-karyawan Yunani mungkin pernah ke benua China pada ketika itu lalu melatih orang tempatan dalam membuat arca-arca namun sarjana-sarjana China juga menyatakan bahawa mereka meragui kenyataan ini.

Kajian numismatik (matawang) memberikan sedikit gambaran bahawa berlaku sedikit pertukaran teknologi dalam hal-hal seperti berikut:
  • Orang Yunani dari Bactria merupakan yang pertama sekali di dunia mengeluarkan matawang-matawang cupro-nickel (nisbah 75/25). Teknologi ini pada awalnya hanya diketahui oleh orang China yang pada ketika itu menggelarnya sebagai "besi putih". Sesetengah senjata dari zaman Negara-Negara di Benua China yang Berperang (Warring States) diperbuat dari campuran aloi, tembaga dan nikel.
  • Amalan mengeksport besi-besi dari China, terutamanya besi tertentu untuk tujuan perdagangan juga disaksikan pada zaman ini. Raja Euthydemus, Euthydemus II, Agathocles dan Pantaleon mengarahkan pengeluaran matawang-matawang ini sekitar 170 SM. Terdapat juga cadangan dari sejarawan bahawa bijih tembaga nickeliferous dikeluarkan dari lombong-lombong di Anarak yang kini berada dalam wilayah Isfahan di Iran moden. Tembaga dan nikel tidak lagi digunakan dalam pembuatan matawang syiling sehinggalah pada abad ke-19 M.
Kehadiran orang China di benua kecil India pada zaman purba seperti yang dikisahkan dalam rekod-rekod seperti Mahābharata dan Manusmṛti yang merujuk kepada orang China sebagai bangsa Cīna. Zhang Qian, seorang pengembara dan rajaduta dari dinasti Han pernah melawat negara Bactria pada 126 SM. Beliau melaporkan kewujudan barangan yang dihasilkan oleh orang China di pasar-pasar di Bactria:
"Apabila saya berada di Daxia (Bactria), saya ternampak batang-batang buluh dari Qiong dan kain-kain yang dihasilkan di wilayah Shu (kini terletak di barat daya China). Apabila saya bertanya kepada orang ramai, bagaimanakah mereka mendapat bekalan bahan-bahan tersebut? Lalu mereka menjawab bahawa, 'Pedagang-pedagang kami akan membelinya dari pasar-pasar di Shendu (benua India)". (Shiji 123, Sima Qian terjemahan ke bahasa Melayu oleh NG).
Sebaik saja kepulangan beliau ke dinasti Han, Zhang Qian melaporkan tahap ketamadunan serta perbandaran di kota-kota Ferghana, Bactria dan Parthia kepada Maharaja Han Wudi. Maharaja Han Wudi lantas berminat untuk memperkembang hubungan perdagangan dengan negara-negara bertamadun Yunani ini.
"Putera Kayangan tatkala mendengar akan segala hal ini mendapat pengetahuan bahawa Dayuan (Ferghana), Daxia (Bactria) dan Anxi (Parthia) ini besar sekali negara kota mereka, penuh dengan bahan-bahan yang jarang dilihat, dengan penduduknya yang tinggal di kediaman tetap serta mempunyai pekerjaan yang kelihatan sama seperti yang terdapat di benua China. Mereka juga sangat-sangat memandang tinggi bahan-bahan yang dihasilkan di benua China." (Hanshu, Babad Han Lampau).
Sekumpulan rajaduta dari dinasti Han dihantar ke Asia Tengah lalu menjadi pemacu pula kepada perkembangan Jalan Sutera pada penghujung abad kedua sebelum masihi.