Rampasan Kuasa oleh Eucratides

Kembali di Bactria sana, Eucratides, sama ada seorang jeneral dalam tentera Demetrius atau sekutu kepada empayar Seleucid berjaya menjatuhkan dinasti Euthydemid dan mendirikan pemerintahan beliau di sana pada 170 SM. Eucratides kemungkinannya menggulingkan Antimachus I dan Antimachus II. Kerajaan cawangan dari dinasti Euthydemid di benua kecil India cuba menyerang balas dan merampas Bactria. Seorang raja dari Aryavarta berkemungkinan besar Demetrius II cuba kembali ke Bactria dengan 60,000 bala tentera untuk menghalau perampas kuasa. Namun, baginda dikalahkan dan terbunuh dalam perebutan tersebut.
Eucratides memimpin banyak peperangan dengan penuh keberanian. Sementara itu, beliau dilemahkan oleh mereka dan diserang habis-habisan oleh Demetrius, raja orang Hindu. Beliau membuat pelbagai helah dan akhirnya berjaya menghapuskan 60,000 musuh dengan 300 bala tentera, dan akhirnya beliau pun bebas selepas empat bulan. Beliau meletakkan Aryavarta di bawah pemerintahan beliau. (Justin, XLI,6)
Kempen peperangan Eucratides berlangsung sehingga ke rantau India barat laut zaman ini. Beliau memerintah rantau yang luas sekali, seperti yang terdapat pada cap matawang yang juga ditemui di benua kecil India. Kemungkinannya, pemerintahan beliau menjangkau Sungai Jhelum di wilayah Punjab hari ini. Akhirnya, Eucratides pun dihalau keluar oleh Menander I, raja Indo-Yunani yang kemudian menyatukan kawasan pemerintahan Yunani Timur menjadi satu negara.

Dalam satu rekod yang agak mengelirukan, Justin menjelaskan bahawa Eucratides telah terbunuh di medan perang oleh "anak lelaki beliau dan raja bersama". Kemungkinannya, pembunuh tersebut adalah Eucratides II atau Heliocles I (walaupun terdapat spekulasi bahawa boleh jadi juga pembunuh tersebut adalah putera kepada Demetrius II. Mayat Eucratides yang berdarah itu ditolak jatuh dari pedati yang sedang bergerak laju dan dibiarkan hancur tanpa kubur.
Tatkala Eucratides kembali dari Aryavarta, beliau telah dibunuh dalam perjalanan oleh anaknya, yang memerintah secara bersama dengan beliau dan tanpa menyembunyikan perbuatan tidak setia beliau itu memperlakukan bapanya seperti seorang musuh layaknya, melarikan diri dengan pedati menjejak darah bapanya. Beliau mengarahkan supaya mayat bapanya ditinggalkan tanpa upacara pengebumian. (Justin XLI.6)
Kekalahan oleh Parthia

Semasa atau selepas dari kempen peperangan di Aryavarta, Ecratides telah diserang dan ditewaskan oleh Mithridates I, Raja Parthia (Persia) yang berkemungkinan bersekutu dengan Euthydemids.
Orang-orang Bactria, terlibat dalam pelbagai peperangan, bukan sahaja kehilangan pemerintahan mereka tetapi juga kemerdekaan mereka. Mereka sudah dilemahkan oleh peperangan mereka menentang orang Sogdiana, orang Arachote, orang Drange, orang Aria dan orang Arya. Mereka akhirnya dihancurkan, seolah-olah dikeringkan terus semua darah dari tubuh mereka oleh musuh-musuh yang lebih lemah daripa mereka, iaitu bangsa Parthia. (Justin, XLI, 6)
Berikutan kejayaan ini, Mithridates I merampas rantau Arius di sebelah barat Bactria, rantau Tapuria dan Traxiane: "Ksatrapati Turiva dan Aspionus dirampas dari Eucratides oleh Parthia." (Strabo XI.11.20)

Pada tahun 141 SM, orang Yunani di Bactria nampaknya kembali bersekutu dengan Demetrius II, raja Seleucid bagi melawan bangsa Parsi:
Orang-orang Timur dialu-alukan oleh baginda. Ketibaan mereka itu sebahagiannya adalah kerana kekejaman Raja Arsacid dari Parthia. Sebahagian lagi kerana mereka sudah terbiasa dengan pemerintahan orang Macedonia (Makadonia). Mereka tidak suka dengan cara sombong dan angkuh pemerintah baru dari Parthia itu. Demetrius II disokong oleh orang Parsi, Elymes dan Bactria, memerangi Parthia dalam beberapa peperangan. Pada akhirnya, mereka tertipu oleh satu perjanjian damai yang palsu, lantas mereka dibawa menjadi tahanan perang. (Justin XXXVI, 1, 1).
Orosius, sejarawan pada abad ke-5 M melaporkan bahawa Mithridates I berjaya menduduki rantau antara Indus dan Hydaspers sehingga ke hujung pemerintahan baginda  (138 SM, sebelum kerajaan baginda dilemahkan oleh kemangkatan baginda pada 136 SM).

Heliocles I akhirnya memerintah di rantau-rantau yang tinggal itu. Kekalahan, di kedua-dua barat dan timur, menyebabkan Bactria terdedah kepada penaklukan bangsa-bangsa gasar.