Hubungan dengan Aryavarta 250-180 SM

Maharaja Chandragupta, pengasas dinasti Maurya di Aryavarta kemudian berjaya menakluki semula rantau barat laut selepas kemangkatan Iskandar Agung dari Macedonia sekitar 323 SM. Walau bagaimanapun, baginda masih lagi meneruskan hubungan baik dengan jiran-jiran baginda yang berbangsa Yunani dalam empayar Seleucid. Perikatan antara dinasti atau pengiktirafan kerajaan masing-masing turut berlaku melalui Epigamia atau Piagam antara orang Yunani dan orang Arya. Beberapa orang Yunani seperti Megasthenes, sejarawan dari empayar Seleucid pernah tinggal di Istana Maurya. Di samping itu, setiap maharaja Maurya akan melantik seorang rajaduta Yunani di istana baginda.

Aśoka, cucunda kepada Chandragupta kemudian menerima ajaran Buddha lalu berusaha menyebarkan ajaran Buddha serta agama-agama Pali keluar negara baginda. Baginda memberikan tumpuan kepada usaha-usaha baginda itu terhadap dunia Parsi dan dunia Yunani sekitar 250 SM. Piagam Aśoka yang dipahat sebahagiannya dalam bahasa Yunani menyatakan bahawa baginda menghantar pesuruh-pesuruh ajaran Buddha ke Tanah Yunani di Asia sehinggalah ke Mediteranea. Setiap piagam baginda itu memahatkan nama raja-raja Yunani pada ketika itu.
"Penaklukan menerusi Dharma itu berjaya di sini, di sempadan-sempadan dan di keluasan enam ratus yojana (4000 batu), di mana raja Antiochos, raja Yunani memerintah. Melepasi sana itu pula seramai empat orang raja bernama Ptolemy, Antigonos, Magas dan Iskandar memerintah. Begitu juga di selatan raja-raja Chola, Pandya dan yang lain di Tamraparni." (Piagam-Piagam Aśoka, Piagam Batu ke-13, S. Dhammika).
Sesetengah penduduk berbangsa Yunani yang masih kekal tinggal di Barat Laut Benua India merangkumi wilayah Gujerat, Punjab dan Republik Pakistan di zaman moden lalu memeluk ajaran Buddha.
"Di sini bawah bayangan Mahākśatria dalam kalangan bangsa Yunani, bangsa Kambuja, bangsa Nabhaka, bangsa Nabhapamkit, bangsa Bhoja, bangsa Pitinika, bangsa Andhra dan bangsa Palida serta di mana-mana sahaja mereka pun mematuhi arahan-arahan Dharma dari dewa-dewa tercinta." (Piagam-Piagam Aśoka, Piagam Batu ke-13, S. Dhammika).
Selain itu, menurut sumber-sumber agama Pali, sesetengah pesuruh Aśoka itu adalah orang Yunani yang menjadi bhikṣu-bhikṣu Buddha. Hal ini juga membayangkan bahawa berlaku pertukaran keagamaan yang begitu rapat sekali di antara dua kebudayaan:
Apabila Thera Moggaliputta, pemegang pelita agama dari baginda Penakluk (Aśoka), mengakhiri majlis (ketiga) ... beliau menghantar thera-thera keempat orang, satu di sini dan satu di sana ... dan ke Aparantaka (negara di sebelah Barat selari dengan wilayah Gujarat dan wilayah Sindh) pula diutuskan Dhammarakkhita, seorang Yona (Yunani) ... dan Thera Maharakkhita pula dihantar ke negara Yona (Yunani) (Mahāvaṃśa, XIII)
Penduduk Bactria didapati menerima pesuruh-pesuruh yang menyebarkan ajaran Buddha (sekurang-kurangnya Maharakkhita) dan kadang-kala bertoleransi terhadap kepercayaan agama Buddha walaupun sedikit sahaja bukti yang masih tinggal. Pada abad ke-2 M, Clement of Alexandria di Jerusalem mengiktiraf kewujudan kelompok Śramaṇa dalam kalangan orang Bactria (merujuk kepada orang Yunani di sebelah Timur pada ketika itu). Clement turut mengesahkan wujudnya pengaruh pemikiran penganut Buddha dalam kalangan orang Bactria ke atas pemikiran Yunani yang umum.
Makanya, falsafah iaitu salah satu perkara yang digunakan sehingga ke tahap tertingginya. Falsafah juga berkembang di zaman purba dalam kalangan orang-orang gasar, menyebarkan cahayanya merentasi segala bangsa. Setelah itu, ia datang ke Greece (Yunani). Yang pertama dalam susunannya itu adalah nabi-nabi bangsa Mesir, nabi-nabi orang Kaldani (Chaldean) dalam kalangan bangsa Assyria, nabi-nabi orang Druid dalam kalangan bangsa Gaul, kaum Śramaṇa dalam kalangan bangsa Bactria (Yunani Timur) dan orang Majusi dalam kalangan bangsa Parsi, yang membawa ramalan mengenai kelahiran Sang Penyelamat serta bertandang ke Tanah Yahuda (Judea) mengikut panduan bintang. Yogi-yogi Hindu juga ramai dan yang lainnya itu adalah ahli falsafah bangsa gasar. Kemudian, dalam dua kelompok itu, sesetengahnya dipanggil sebagai Sramana dan satu lagi dipanggil sebagai Brahmana (Brahmin). (Clement of Alexandria "The Stromata, or Miscellanies" Kitab I, Bab XV).
Pengaruh Hellenistic ke atas Kebudayaan Hindu

Kota Ai-Khanoum, iaitu kota di negara Bactria terletak di pintu masuk ke benua kecil India, mempunyai hubungan interaksi dengan benua kecil India. Ia juga turut mempunyai khazanah kebudayaan Hellenistic yang kaya. Kedudukannya ini membolehkannya memberikan pengaruh kepada kebudayaan di rantau benua kecil India. Boleh jadi juga, kota Ai-Khanoum ini menjadi salah satu aktor awal yang menyebarkan pengaruh karyawan dan kesenian Barat ke benua kecil India. Sebagai contoh, ia boleh dilihat pada Tiang-Tiang Piagam Aśoka atau pembangunan ibukota Pataliputra yang kelihatan seperti kota Yunani sekitar abad ke-3 SM.

Skop pemakaian kebudayaan Hellenistic ini adalah dari rekabentuk seperti corak bead dan reel, corak flame plamette tengah dan kepelbagaian acuan sehinggalah kepada arca-arca haiwan serta binaan-binaan tiang 'anta' bergaya Yunani di istana Pataliputra.

Cap-Cap Awal Rupa Dewata Hindu

Agathocles, raja Bactria yang terakhir (memerintah dari 190-180 SM), mengeluarkan matawang empat persegi mengikut standard benua kecil India. Matawang tersebut dicap corak dewata Hindu yang ditafsirkan sama ada sebagai Viṣṇu, Śiva, Vasudeva, Buddha atau Bālarāma. Kesemua enam jenis matawang drachma perak dengan nama Agathocles ditemui di Ai-Khanoum pada 1970. Matawang-matawang ini dilihat sebagai perwakilan pertama bagi dewata Vedic pada matawang yang memaparkan
  • Avatara atau penjelmaan dewa Viṣṇu, Bālarāma-Sankarsana dengan gada dan bajak;
  • Kṛṣṇa Vasudeva dengan lambang Sankha dan Sudarśana Cakra;
  • Singa Buddha; dan
  • Dewi Lakṣmi, sakti kepada Viṣṇu.
Penghasilan matawang oleh kerajaan pimpinan Agathocles ini walaupun nampak sedikit sahaja namun impaknya agak mengagumkan. Matawang-matawang tersebut sekurang-kurangnya memaparkan kesediaan raja-raja bangsa Yunani untuk menggunakan dewata-dewata bangsa asing sebagai cap perwakilan negara baginda. Kebaktian pesuruh-pesuruh diraja Yunani terhadap Garuḍa pada Tiang Heliodorus di Besnagar (kini di Madhya Pradesh) boleh jadi juga memberi tunjuk bahawa berlakunya persenyawaan keagamaan atau syncretism antara kepercayaan bangsa Yunani dengan kepercayaan bangsa Arya.

Perluasan Kuasa ke Aryavarta
 
Demetrius, anakanda kepada Euthymus, memulakan penaklukan ke rantau tersebut bermula pada 180 SM iaitu tidak lama selepas kejatuhan empayar Maurya di tangan dinasti Śuṃgarājavaṃśa. Sejarawan berbeza pandangan berkenaan motivasi di sebalik penaklukan Bactria ke atas empayar Maurya ini. Terdapat dua jenis pendapat berkenaan dengan sebab rampasan kuasa ini berlaku:
  • Sejarawan seperti Tarn berpendapat bahawa penaklukan ini sebagai salah satu langkah untuk melindungi ajaran Buddha dan penganut-penganut Buddha daripada digencar oleh dinasti Śuṃga seperti yang didakwa oleh sastera-sastera Buddha.
  • Sejarawan seperti Lamotte dan Thapar berpandangan bahawa rekod-rekod berkenaan dengan penggencaran penganut ajaran Buddha itu sebagai dibesar-besarkan sahaja.
Jajahan Demetrius kemungkinannya menjangkau kota Pataliputra di Patna zaman moden. Walau bagaimanapun, kempen peperangan ini selalunya dikaitkan dengan Raja Menander. Proses penaklukan ini disempurnakan menjelang 175 SM. Keadaan ini menyebabkan kerajaan Indo-Yunani yang terdiri dari pelbagai jenis negara-kota serta dinasti diasaskan di barat laut benua kecil India. Kerajaan ini berterusan selama dua abad sehinggalah sekitar abad pertama masihi. Ajaran Buddha berkembang di bawah raja-raja Indo-Yunani. Salah satu raja Indo-Yunani yang terkenal dalam usaha pengembangan ajaran Buddha adalah Raja Menander I. Pada ketika ini juga, berlaku persenyawaan agama yang dipaparkan pada perkembangan kesenian Greco-Buddhism atau ajaran Buddha mengikut tradisi Yunani.