Buddha merupakan perkataan dari bahasa Pali dan bahasa Sanskrit yang bermaksud, seseorang yang dicerahi. Ia merupakan sejenis gelaran untuk merujuk tokoh-tokoh yang terdapat dalam ajaran Buddha. Tokoh yang terkenal dalam agama Buddha kini, tidak lain dan tidak bukan adalah baginda, Siddhartha Gautama.
Penceritaan
Penceritaan riwayat hidup baginda Buddha dikutip dari biografi aliran Theravada di Sri Lanka yang berjudul Nidānakathā. Teks ini dikaitkan dengan Buddhaghoṣa dari abad ke-5 M. Biografi-biografi awal yang memberikan kisah-kisah berbeza adalah seperti:
- Buddhacarita
- Lokottaravādin Mahāvastu
- Lalitavistara Sūtra dari aliran Mahāyāna atau Sarvāstivāda
Para cendekiawan ragu-ragu untuk membuat dakwaan yang tidak disahkan mengenai kehidupan baginda Buddha. Kebanyakannya menerima bahawa baginda pernah hidup dan mengasaskan perkumpulan biarawan, namun tidak bersepakat menerima segala perincian yang terkandung dalam biografi-biografi baginda.
Menurut penulis, Michael Carrithers, sementara terdapat sebab-sebab yang baik untuk meragui penceritaan tradisional, "ciri-ciri penting kehidupan tokoh tersebut mestilah benar: kelahiran, kematangan, meninggalkan duniawi, pencarian, kesedaran, pembebasan, ajaran dan kematian".
Dalam menulis biografi mengenai Buddha, Karen Armstrong mencatit, "Jelas sekali, sukar untuk menulis biografi tokoh Buddha ini yang menepati kriteria-kriteria moden, kerana kita cuma mempunyai sedikit maklumat yang boleh disahkan sebagai bersejarah... [namun] kita boleh dengan munasabahnya yakin bahawa Siddhatta Gotama itu memang wujud, dan siswa-siswa baginda memelihara riwayat hidup baginda setakat yang mereka mampu".
Bukti dari teks-teks awal memberi gambaran bahawa baginda Siddhārtha Gautama dilahirkan dalam masyarakat yang hidup di sempadan, dari segi geografi dan kebudayaan, di timur laut benua kecil India sekitar abad ke-5 SM. Tempat kelahiran baginda itu boleh jadi adalah sebuah republik kecil, yang ayahanda baginda ketika merupakan seorang kesatria yang dipilih menjadi pemimpin, atau pun kerajaan yang bersifat oligarki.
Menurut riwayat, sebaik saja selepas kelahiran putera Gautama, seorang ahli nujum bernama Asita menziarahi ayahandanya, raja Śuddhodana. Beliau meramalkan bahawa putera tersebut nanti, sama ada menjadi seorang raja yang agung atau meninggalkan kehidupan duniawi menjadi seorang sadhu. Hal ini bergantung kepada perkara yang dilihatnya di luar tembok istana.
Raja Śuddhodana ingin supaya putera baginda itu menjadi seorang raja. Oleh itu, baginda melarang putera tersebut dari keluar dari rantau istana. Ketika berusia 29 tahun, putera Siddhartha yang degil tetap terlepas keluar dari istana beberapa kali. Dari situ, bermula pengalaman baginda melihat beberapa perkara yang disebut dalam sastera Buddha sebagai empat pandangan. Baginda belajar mengenai kesengsaraan orang awam, menemui orang tua, melihat orang terlantar sakit, melihat mayat dan seterusnya berjumpa seorang sadhu. Baginda melihat bahawa sadhu itu hidup aman sentosa serta suka gembira. Pengalaman-pengalaman ini menyebabkan putera Siddharta meninggalkan kehidupan istana lalu turun mengembara mencari-cari kepuasan rohani.
Baginda mula-mula sekali mengaji dengan guru-guru agama yang terkenal ketika itu, dan menguasai pencapaian-pencapaian samadhi yang diajari oleh mereka. Namun, baginda berasa bahawa hal-hal tersebut tidak mengakhiri kesengsaraan jiwa secara abadi pun. Justeru, baginda meneruskan usaha baginda mencari-cari.
Kemudian, baginda cuba menjalani tapa melampau yang biasa diamalkan oleh kelompok Śramana. Kelompok Śramana berbeza dengan kelompok Brahmana (Brahmin) yang mengikut kebudayaan kitab Veda. Baginda berpuasa lama, menahan nafas dan mendedahkan diri kepada kesakitan. Baginda hampir mati kebuluran ketika proses ini. Baginda tersedar bahawa baginda sudah sampai ke batasan melampau namun jiwa masih dibelenggu sengsara. Ketika saat meruncing itu, baginda pun menerima susu dan nasi dari seorang gadis desa lalu menukar pendekatannya.
Baginda memberi tumpuan kepada samadhi anapasati pula. Dengan jalan ini, baginda menemui Jalan Tengah atau Madhyamā Pratipada. Jalan ini merupakan jalan sederhana antara memanjakan diri secara melampau dan menyeksa tubuh secara melampau.
Kini, baginda pun terdorong untuk menyelesaikan pengembaraan rohaninya. Pada usia 35 tahun, baginda duduk bersamadhi bawah pohon Pipal di kota Bodhgaya di India moden. Baginda berjanji untuk duduk di situ sehingga menerima pencerahan. Selepas beberapa hari di situ, baginda pun berjaya memutuskan rantai pengikat fikiran. Baginda pun menerima pembebasan jiwa dari samsara serta bangun menjadi seorang Samyaksaṃbuddha, iaitu seorang makhluk yang cerah penuh jiwanya.
Tidak lama selepas itu, baginda pun memperolehi beberapa siswa dan menubuhkan susunan kebiaraan. Sebagai seorang Buddha, baginda menghabiskan sisa-sisa hidup baginda mengajari jalan kesedaran diri yang ditemuinya, mengembara di timur laut benua India dan mangkat ketika berusia 80 tahun (483 SM) di Kushinagar, India. Cabang pokok Pipal tempat baginda menjadi seorang Buddha itu dihantar untuk ditanam di negeri Anuradhapura, Sri Lanka. Ia digelar sebagai Jāya Śrī Mahābodhi.
No comments:
Post a Comment