Saturday, July 8, 2017

Asalha Puja




Pada hari ini 8 Julai 2017 berlangsung perayaan Asalha Puja yang disambut oleh kaum selatan. Perayaan ini biasanya jatuh dalam bulan Julai, pada purnama kelapan kalendar lunar. Ia dirayakan di negara-negara yang majoritinya penganut ajaran Buddha seperti di Thailand, Sri Lanka, Kemboja, Laos dan Myanmar. 

Hari ini juga dikenali sebagai Hari Dharma. Ia disambut bagi mengingati wacana pertama baginda Buddha yang disampaikan kepada lima orang pengikut baginda. Baginda mewacanakan ajaran yang terbit hasil dari pencerahan yang diterima selepas semadhi baginda. 

Wacana pertama yang dikenali sebagai wacana "pemutar dharmacakra" itu merumuskan ajaran Buddha mengenai empat kebenaran mulia iaitu mengenai kewujudan:
  • dukkha, kesengsaraan jiwa dan raga disebabkan oleh;
  • tanha, keinginan dan idaman;
  • nibbana, tahap yang melangkaui kesengsaraan dan keinginan idaman; serta
  • arya marga, lapan jalan hidup mulia menuju ke nibbana
Kebanyakan tradisi dan aliran ajaran Buddha membincangkan hal-hal berkaitan dengan ajaran empat kebenaran yang mulia ini.  

Wacana pertama ini sebenarnya bukanlah satu-satunya perbincangan yang tersusun diberikan oleh baginda Buddha selepas pencerahan baginda. Ia turut mengandungi dasar bagi segala ajaran yang disampaikan oleh baginda selepas peristiwa ini. 

Kesemua lima pengikut baginda itu kemudian mengulangi kembali apa yang difahami oleh mereka dari ajaran yang telah disampaikan oleh baginda. Mereka memohon diterima sebagai pengikut baginda lantas diterima. Rentetan ini, susunan bhiksu pertama pun diasaskan.

Hari ini dilalui oleh penganut ajaran Buddha dengan menyampaikan dana kepada biara-biara dan mendengar wacana. Keesokan harinya iaitu pada 9 Julai 2017, akan berlangsung pula Hari Masuk Varsha iaitu para bhiksu akan bertapa sebentar dalam musim tengkujuh.   

Di Rembang Indonesia, perayaan ini berlangsung sekitar Candi Mendut, dekat dengan Candi Borobudur.

Gambar: Guide to the World's Biggest Buddhist Monument, Candi Borobudur, Magelang, Jawa Tengah, Indonesia (Pure Travel)
Video: Buddha Sasana (Central Javanese Gamelan), BDP Teamwork, 25 Aug 2013 (youtube