Sunday, September 23, 2018

Perayaan Hantu Lapar


Perayaan ini sebenarnya tidak asing bagi kebanyakan orang. Ia dirayakan oleh diaspora Cina yang menganut ajaran Buddha atau ajaran Tao di seluruh dunia. Bagi penganut kedua-dua ajaran ini mereka pun mempunyai lagenda yang dikaitkan dengan perayaan ini. Untuk halaman ini, sisi dari ajaran Buddha sahaja yang akan ditempelkan supaya kita tidak keliru. 

Perayaan yang dirayakan oleh pengikut tradisi Utara atau aliran Mahayana ini turut berkaitan dengan upacara pemujaan nenek moyang. Mereka memulakan perayaan ini pada hari ke-14 dan hari ke-15 dalam bulan ketujuh mengikut kalendar lunar. Dipercayai bahawa roh-roh nenek moyang dan hantu setan dari petala neraka akan naik ke bumi melawat sanak saudara yang masih hidup.

China dan Taiwan

Nama lain bagi perayaan ini dalam bahasa Cina adalah perayaan Por Tor. Biasanya di negara-negara Asia Tenggara, penduduk berketurunan Cina berasal dari wilayah selatan negara China iaitu dari wilayah Fujian dan wilayah Guangdong. Oleh itu, adat-istiadat penganut ajaran Buddha yang menjalankan upacara pemujaan nenek moyang juga dipengaruhi oleh adat-istiadat wilayah asal mereka. Menurut kepercayaan mereka, hari ke-15 bulan ketujuh mengikut kalender lunar itu adalah hari apabila alam kayangan dan alam neraka bertembung dengan alam manusia. Bhiksu-bhiksu Buddha aliran Mahayana akan dijemput bagi membantu menenangkan roh-roh yang bergentayangan. Amalan biasa mereka adalah menyalakan colok, membakar wang kertas neraka dan bahan-bahan yang dianyam dari kertas menjadi bentuk rumah, pakaian, barangan kegunaan rumah, tahil emas dan lain-lain. 

Aneka jenis makanan dari sayuran disediakan dengan kerusi-kerusi kosong diletakkan sebagai tempat duduk roh nenek moyang di meja seolah-olah mereka masih hidup. Perbezaan pemujaan nenek moyang yang dijalankan oleh penganut ajaran Buddha ini dengan penganut Tao dan Confucianisme adalah penghormatan turut diberikan kepada roh-roh lain yang tidak berkeluarga atau yang berkeluarga tanpa mengira hierarki umur. Perayaan asli masyarakat Cina seperti Qingming hanya dikhususkan kepada ahli keluarga yang lebih tua sahaja. Dalam perayaan hantu lapar ini, tanglung akan dilepaskan ke air bagi memberi arah kepada nenek moyang atau roh-roh yang sesat.

Jepun

Di Jepun, penganut ajaran Buddha menjalankan upacara Segaki iaitu memberikan makan kepada preta. Amalan ini sama ada menghantar semula preta ke neraka atau mengelakkan roh keluarga yang mati daripada jatuh ke alam preta. Amalan pemujaan ini tidak semestinya dijalankan pada perayaan tertentu sahaja namun terdapat perayaan khusus diadakan setiap tahun pada bulan Julai. Dalam perayaan ini roh-roh yang tidak berkeluarga dan liar juga menerima persembahan dana dari orang ramai. Dalam penceritaan di Jepun ini, disebutkan bahawa baginda Buddha Sakyamuni mengarahkan supaya Mahamogallana supaya mengajarkan Sutra Padma atau meraga sukma ke neraka sendiri. Hal ini kononnya menyebabkan semua preta dalam alam preta melepaskan diri dan menyebabkan pengawal neraka memaksa mereka kembali ke alam mereka. Dalam cetera lain pula, disebut bahawa Ananda diberitahu oleh seekor preta bahawa beliau akan menjelma menjadi seekor preta juga dalam masa tiga hari. Ananda rungsing lalu beliau mendanakan persembahan kepada orang ramai bagi mengelakkan kata-kata preta itu menjadi kenyataan.    

Rujukan Ajaran Buddha

Disebabkan penganut tradisi Utara adalah pengikut aliran Mahayana, maka rujukan mereka juga adalah dari sutra Mahayana. Asal-usul perayaan ini dijejaki dari Sutra Ullambana. Dalam sutra tersebut, disebutkan bahawa baginda Siddartha Gautama Buddha mengajar Mahamogallana, pengikut baginda cara melepaskan roh ibu beliau dari kesengsaraan seksa neraka. Baca lanjut di sini.

Amalan ini juga diamalkan oleh penganut ajaran Buddha di kebanyakan bahagian di Asia Timur. Bacaan sutra pula dijalankan mengikut aliran-aliran kecil penganut ajaran Buddha, misalnya pada hari tersebut dijalankan upacara membaca Sutra Amitabha dan menyalakan lilin dalam perhimpunan Sangha.

Rujukan
  • Ullambana Festival, Than Hsiang Temple (online)
  • Do more this Ullambana and experience the real spirit of the Hungry Ghos Festival, Kechara Tsem Rinpoche Foundation (online)
  • Penyembahan roh nenek moyang pengikut tradisi Selatan (blog)

No comments:

Post a Comment