Sunday, September 23, 2018

Upacara Pemujaan Nenek Moyang


Upacara pemujaan nenek moyang sebenarnya wujud juga dalam tradisi masyarakat Buddha Selatan terutamanya di Asia Tenggara. Baca lanjut di sini. Untuk tradisi masyarakat Buddha Utara, sila rujuk di sini.

Sri Lanka

Penganut Buddha di Sri Lanka menjalankan upacara pemujaan untuk orang yang telah meninggal dunia pada hari ketujuh kematiannya, selepas tiga bulan dan setahun selepas kematiannya. Upacara ini dijalankan semasa upacara kematian penganut dan disebut sebagai mataka dānēs atau matakadānaya. Persembahan diberikan kepada orang yang masih hidup dan memerlukan bagi menjana pahala yang kemudian akan bertukar kembali menjadi bahan-bahan yang diterima oleh preta dalam alam mereka. Persembahan akan disajikan pada hari ketujuh, sehari selepas sembahan sajian khusus untuk roh saudara-mara yang meninggal dunia disembahkan di halaman. Hal ini dijalankan pada hari keenam selepas kematian. Roh si mati yang tidak sampai ke alam akhirat atau alam preta ditakuti akan menyebabkan pelbagai jenis malapetaka dan penyakit kepada saudara-mara yang masih hidup. Bhiksu akan dijemput untuk membacakan paritta bagi menghalau roh-roh yang bergentayangan. Amalan ini turut dilakukan di negara-negara seperti Thailand dan Myanmar serta diamalkan semasa upacara pemujaan nenek moyang penganut Buddha di China dan Jepun. 

Thailand dan Laos

Di Thailand dan Laos, tradisi ini dikenali sebagai Bun Khao Pradab Din yang dijalankan dalam bulan September setiap tahun. Di Thailand, pemujaan ini terkenal di wilayah Timur Laut berbanding dengan di wilayah-wilayah lain. Khao Pradab Din ini bermaksud nasi yang dihalakan ke tanah semasa upacara pemujaan untuk penghormatan kepada anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Sesetengah orang menjalankan upcara ini pada sebelum subuh atau kebanyakannya menjalankan pemujaan pada siang hari. Bahan-bahan makanan seperti pulut, buah-buahan, ikan, manisan, pinang dan juga rokok disediakan dalam bekas yang diperbuat dari daun pisang. Kadang-kadang bahan-bahan ini dibawa ke biara. Bekas-bekas sembahan sajian ini diletakkan di tanah di luar rantau biara, dinding sempadan biara, atas tembok sekitar ubosot, bawah pokok besar atau digantung pada pokok-pokok besar. Baca lanjut di sini.

Di rantau selatan Thailand, penganut ajaran Buddha menjalankan Sarāda yang disebut dalam sebutan pelat bahasa Thai sebagai Sart. Perayaan ini merujuk kepada musim "bijirin masuk ke telinga" yang bermaksud tangkai padi sudah masak ranum serta sesuai untuk dituai. Buah-buahan di kebun pun mula terbit. Perayaan Sarāda ini adalah perayaan pertengahan tahun di Siam yang diadakan pada bulan mengambang penghujung bulan ke-10 kalender lunar. Ciri-ciri tantra terpapar jelas pada perayaan ini contohnya seperti perkaitannya dengan roh, semangat alam, binatang, tumbuhan dan lain-lain. Pemujaan nenek moyang dijalankan pada hari ke-15 waktu malam bulan mula bergerak gelap. Upacara tam bun atau menjana pahala akan dijalankan bagi kebajikan roh nenek moyang.

Di utara Thailand, perayaan Phī Tā Khon dijalankan di daerah Dan Sai, wilayah Loei. Namun perayaan ini berlangsung pada antara bulan Mac dan bulan Julai. Tarikh perayaan akan diputuskan oleh pawang di bandar tersebut.  Keseluruhan peristiwa ini disebut sebagai Bun Luang, iaitu sebahagian daripada hari menjana amalan baik. Ia disebut juga sebagai Bun Phavet.

Kemboja dan Myanmar

Di negara Kemboja, mereka merayakan perayaan Prochum-ben atau perayaan memberikan dana makanan kepada mereka yang memerlukan supaya pahala amalannya turut dinikmati oleh roh saudara-mara mereka yang telah meninggal dunia. Lanjut untuk amalan di Kemboja boleh dibaca di sini.

Di rantau Myanmar, keluarga diraja Burma dari dinasti Kobaung pernah menjalankan upacara pemujaan roh nenek moyang. Mereka membuka berhala emas raja-raja serta permaisuri yang telah mangkat sebanyak tiga kali dalam satu tahun. Pemujaan dijalankan pada tarikh tertentu oleh keluarga diraja sahaja, kemudian pemujaan dijalankan selepas perayaan Thingyan atau Sankranti dan pemujaan seterusnya pada sebelum atau selepas pembukaan musim hujan. Berhala raja-raja akan disimpan dalam bilik simpanan harta dan dipuja di Setawun Saung, Balai Rong Seri istana. Kini upacara pemujaan nenek moyang sudah tidak diamalkan di Myanmar kerana mereka berpegang dengan konsep anicca dan anatta yang mengajarkan bahawa tiada sesuatu pun dalam alam semesta ini yang kekal serta penafian diri. Penduduk Myanmar setakat pemerhatian pencatit ada menjalankan pemujaan terhadap Nat, iaitu penunggu di sesuatu kawasan. Kebiasannya, roh manusia yang meninggal turut berdiam dalam alam sekitar.

Rujukan Ajaran Buddha

Rujukan agama mengaitkan pemujaan ini dengan ajaran Buddha. Dalam satu sastera, disebut bahawa lima orang penganut berbincang dengan pretam. Diceritakan bahawa Phet Wuto, ketua bhiksu, pelayan raja dan hamba tentera diarahkan menjalankan perang. Pada malam hari, mereka terserempak dengan pretam semasa belayar dengan kapal. Hamba tentera dan pegawai raja bertanya, "Bagaimana caranya kami boleh sampaikan sembahan makanan kepada kamu?" Para pretam menjawab, "Hantar sahaja makanan kepada sesiapa dalam kalangan kamu yang menjalankan panchasilani atau arya marga dengan lengkap, kemudian serulah nama kami".

Sastera lain menyatakan bahawa dalam hari ke-15 bulan Bhadrapada, ketika hujan turun lebat sekali. Roh-roh mereka yang menderita dalam neraka akan dilepaskan untuk mencari saudara-mara mereka bagi menerima sembahan sajian makanan.