Dalam Saṃyutta Nikāya atau Perbincangan Terhubung, dijelaskan mengenai preta dan preti atau bayangan mereka yang sudah meninggal dunia. Bayangan ini merujuk kepada hantu. Petavatthu menunjukkan bahawa hantu-hantu ini boleh muncul dalam pelbagai rupa dan ukuran bergantung kepada karma tidak sempurna lampau mereka.
Pettavatthu ini adalah sebahagian daripada Khuddaka Nikaya. Ia adalah himpunan ceritera pendek mengenai hantu lapar. Hantu lapar ini dikatakan adalah roh yang berduka tidak pernah bahagia. Kehidupan mereka itu penuh sengsara, tertakluk kepada kesakitan tidak terhingga dan menderita. Mereka tiada pakaian dan tiada makanan. Gambaran jelas yang ditemui dalam Petavatthu ini menggariskan mengenai penderitaan teruk yang dialami oleh preta sebagai akibat karma tidak sempurna mereka.
Sastera Milinda Pañha atau Persoalan-Persoalan Raja Milinda bertarikh kira-kira 100 SM merakamkan perbualan antara Nāgasena, seorang bhiksu Buddha dengan raja Indo-Greek bernama Milinda. Salah satu subjek yang dibicarakan di dalam sastera itu adalah mengenai kelompok-kelompok preta sebanyak empat jenis:
- Vantasika, yang memakan muntah orang lain
- Khuppipasino, yang menderita panjang akibat kebuluran dan kehausan
- Nijjhamatanhika, yang menderita kehausan dan tubuhnya terbakar terus
- Paradattupajivi, yang boleh menerima sembahan dan pahala amalan dari sanak-saudaranya. Mereka mengenali sanak-saudara mereka dan boleh menerima pahala amalan mereka.
Walaupun ramai yang percaya bahawa mereka yang hidup menurut tatasusila akan terjelma di alam deva yang lebih tinggi namun hal ini sebenarnya adalah salah pemahaman. Hal ini kerana, kita tidak mengetahui karma buruk apakah yang telah dikumpulkan oleh jiwa kita sebelum kita dijelmakan dalam jasad kita yang terkini. Oleh itu, baginda Buddha sering menyebut dalam banyak sutta bahawa bhava atau kewujudan sebagai seorang manusia itu pun sukar untuk dicapai. Apa lagi kewujudan sebagai seorang deva atau sebagai seorang brahma. Baca lanjut di sini.