Friday, December 28, 2018

Kerajaan Bactria


Kerajaan Greco-Bactria yang bersama dengan kerajaan Indo-Yunani menjadi bahagian paling timur sekali di dunia Hellenistic. Ia meliputi rantau Bactria dan Sogdiana di Asia Tengah bermula dari 250 sehingga 125 SM. Pusat kerajaan ini terletak di sebelah utara Afghanistan kini. Peluasan kerajaan Greco-Bactria ke kawasan timur di Afghanistan dan ke Pakistan bermula 180 SM menyebabkan munculnya kerajaan Indo-Yunani yang bertahan sehingga sekitar abad ke-10 M.
Bagi mereka yang meragui kisah-kisah lisan yang terdapat dalam hikayat-hikayat orang Melayu pada zaman klasik yang menyebut mengenai Iskandar Makadunia (Alexander of Maecedonia). Bolehlah kembali melihat laman ini dan membuat rujukan di laman-laman lain yang berbahasa Inggeris. 

Sumber Gambar: Greco-Buddhist Art: Gandhara Figures at Christie's New York, the Value, 8 September 2017 (online)

Friday, October 5, 2018

Hantu dalam Ajaran Buddha


Dalam Saṃyutta Nikāya atau Perbincangan Terhubung, dijelaskan mengenai preta dan preti atau bayangan mereka yang sudah meninggal dunia. Bayangan ini merujuk kepada hantu. Petavatthu menunjukkan bahawa hantu-hantu ini boleh muncul dalam pelbagai rupa dan ukuran bergantung kepada karma tidak sempurna lampau mereka.

Pettavatthu ini adalah sebahagian daripada Khuddaka Nikaya. Ia adalah himpunan ceritera pendek mengenai hantu lapar. Hantu lapar ini dikatakan adalah roh yang berduka tidak pernah bahagia. Kehidupan mereka itu penuh sengsara, tertakluk kepada kesakitan tidak terhingga dan menderita. Mereka tiada pakaian dan tiada makanan. Gambaran jelas yang ditemui dalam Petavatthu ini menggariskan mengenai penderitaan teruk yang dialami oleh preta sebagai akibat karma tidak sempurna mereka.

Sastera Milinda Pañha atau Persoalan-Persoalan Raja Milinda bertarikh kira-kira 100 SM merakamkan perbualan antara Nāgasena, seorang bhiksu Buddha dengan raja Indo-Greek bernama Milinda. Salah satu subjek yang dibicarakan di dalam sastera itu adalah mengenai kelompok-kelompok preta sebanyak empat jenis:
  • Vantasika, yang memakan muntah orang lain
  • Khuppipasino, yang menderita panjang akibat kebuluran dan kehausan
  • Nijjhamatanhika, yang menderita kehausan dan tubuhnya terbakar terus
  • Paradattupajivi, yang boleh menerima sembahan dan pahala amalan dari sanak-saudaranya. Mereka mengenali sanak-saudara mereka dan boleh menerima pahala amalan mereka.
Walaupun ramai yang percaya bahawa mereka yang hidup menurut tatasusila akan terjelma di alam deva yang lebih tinggi namun hal ini sebenarnya adalah salah pemahaman. Hal ini kerana, kita tidak mengetahui karma buruk apakah yang telah dikumpulkan oleh jiwa kita sebelum kita dijelmakan dalam jasad kita yang terkini. Oleh itu, baginda Buddha sering menyebut dalam banyak sutta bahawa bhava atau kewujudan sebagai seorang manusia itu pun sukar untuk dicapai. Apa lagi kewujudan sebagai seorang deva atau sebagai seorang brahma. Baca lanjut di sini.

Sunday, September 23, 2018

Perayaan Hantu Lapar


Perayaan ini sebenarnya tidak asing bagi kebanyakan orang. Ia dirayakan oleh diaspora Cina yang menganut ajaran Buddha atau ajaran Tao di seluruh dunia. Bagi penganut kedua-dua ajaran ini mereka pun mempunyai lagenda yang dikaitkan dengan perayaan ini. Untuk halaman ini, sisi dari ajaran Buddha sahaja yang akan ditempelkan supaya kita tidak keliru. 

Perayaan yang dirayakan oleh pengikut tradisi Utara atau aliran Mahayana ini turut berkaitan dengan upacara pemujaan nenek moyang. Mereka memulakan perayaan ini pada hari ke-14 dan hari ke-15 dalam bulan ketujuh mengikut kalendar lunar. Dipercayai bahawa roh-roh nenek moyang dan hantu setan dari petala neraka akan naik ke bumi melawat sanak saudara yang masih hidup.

China dan Taiwan

Nama lain bagi perayaan ini dalam bahasa Cina adalah perayaan Por Tor. Biasanya di negara-negara Asia Tenggara, penduduk berketurunan Cina berasal dari wilayah selatan negara China iaitu dari wilayah Fujian dan wilayah Guangdong. Oleh itu, adat-istiadat penganut ajaran Buddha yang menjalankan upacara pemujaan nenek moyang juga dipengaruhi oleh adat-istiadat wilayah asal mereka. Menurut kepercayaan mereka, hari ke-15 bulan ketujuh mengikut kalender lunar itu adalah hari apabila alam kayangan dan alam neraka bertembung dengan alam manusia. Bhiksu-bhiksu Buddha aliran Mahayana akan dijemput bagi membantu menenangkan roh-roh yang bergentayangan. Amalan biasa mereka adalah menyalakan colok, membakar wang kertas neraka dan bahan-bahan yang dianyam dari kertas menjadi bentuk rumah, pakaian, barangan kegunaan rumah, tahil emas dan lain-lain. 

Aneka jenis makanan dari sayuran disediakan dengan kerusi-kerusi kosong diletakkan sebagai tempat duduk roh nenek moyang di meja seolah-olah mereka masih hidup. Perbezaan pemujaan nenek moyang yang dijalankan oleh penganut ajaran Buddha ini dengan penganut Tao dan Confucianisme adalah penghormatan turut diberikan kepada roh-roh lain yang tidak berkeluarga atau yang berkeluarga tanpa mengira hierarki umur. Perayaan asli masyarakat Cina seperti Qingming hanya dikhususkan kepada ahli keluarga yang lebih tua sahaja. Dalam perayaan hantu lapar ini, tanglung akan dilepaskan ke air bagi memberi arah kepada nenek moyang atau roh-roh yang sesat.

Jepun

Di Jepun, penganut ajaran Buddha menjalankan upacara Segaki iaitu memberikan makan kepada preta. Amalan ini sama ada menghantar semula preta ke neraka atau mengelakkan roh keluarga yang mati daripada jatuh ke alam preta. Amalan pemujaan ini tidak semestinya dijalankan pada perayaan tertentu sahaja namun terdapat perayaan khusus diadakan setiap tahun pada bulan Julai. Dalam perayaan ini roh-roh yang tidak berkeluarga dan liar juga menerima persembahan dana dari orang ramai. Dalam penceritaan di Jepun ini, disebutkan bahawa baginda Buddha Sakyamuni mengarahkan supaya Mahamogallana supaya mengajarkan Sutra Padma atau meraga sukma ke neraka sendiri. Hal ini kononnya menyebabkan semua preta dalam alam preta melepaskan diri dan menyebabkan pengawal neraka memaksa mereka kembali ke alam mereka. Dalam cetera lain pula, disebut bahawa Ananda diberitahu oleh seekor preta bahawa beliau akan menjelma menjadi seekor preta juga dalam masa tiga hari. Ananda rungsing lalu beliau mendanakan persembahan kepada orang ramai bagi mengelakkan kata-kata preta itu menjadi kenyataan.    

Rujukan Ajaran Buddha

Disebabkan penganut tradisi Utara adalah pengikut aliran Mahayana, maka rujukan mereka juga adalah dari sutra Mahayana. Asal-usul perayaan ini dijejaki dari Sutra Ullambana. Dalam sutra tersebut, disebutkan bahawa baginda Siddartha Gautama Buddha mengajar Mahamogallana, pengikut baginda cara melepaskan roh ibu beliau dari kesengsaraan seksa neraka. Baca lanjut di sini.

Amalan ini juga diamalkan oleh penganut ajaran Buddha di kebanyakan bahagian di Asia Timur. Bacaan sutra pula dijalankan mengikut aliran-aliran kecil penganut ajaran Buddha, misalnya pada hari tersebut dijalankan upacara membaca Sutra Amitabha dan menyalakan lilin dalam perhimpunan Sangha.

Rujukan
  • Ullambana Festival, Than Hsiang Temple (online)
  • Do more this Ullambana and experience the real spirit of the Hungry Ghos Festival, Kechara Tsem Rinpoche Foundation (online)
  • Penyembahan roh nenek moyang pengikut tradisi Selatan (blog)

Upacara Pemujaan Nenek Moyang


Upacara pemujaan nenek moyang sebenarnya wujud juga dalam tradisi masyarakat Buddha Selatan terutamanya di Asia Tenggara. Baca lanjut di sini. Untuk tradisi masyarakat Buddha Utara, sila rujuk di sini.

Sri Lanka

Penganut Buddha di Sri Lanka menjalankan upacara pemujaan untuk orang yang telah meninggal dunia pada hari ketujuh kematiannya, selepas tiga bulan dan setahun selepas kematiannya. Upacara ini dijalankan semasa upacara kematian penganut dan disebut sebagai mataka dānēs atau matakadānaya. Persembahan diberikan kepada orang yang masih hidup dan memerlukan bagi menjana pahala yang kemudian akan bertukar kembali menjadi bahan-bahan yang diterima oleh preta dalam alam mereka. Persembahan akan disajikan pada hari ketujuh, sehari selepas sembahan sajian khusus untuk roh saudara-mara yang meninggal dunia disembahkan di halaman. Hal ini dijalankan pada hari keenam selepas kematian. Roh si mati yang tidak sampai ke alam akhirat atau alam preta ditakuti akan menyebabkan pelbagai jenis malapetaka dan penyakit kepada saudara-mara yang masih hidup. Bhiksu akan dijemput untuk membacakan paritta bagi menghalau roh-roh yang bergentayangan. Amalan ini turut dilakukan di negara-negara seperti Thailand dan Myanmar serta diamalkan semasa upacara pemujaan nenek moyang penganut Buddha di China dan Jepun. 

Thailand dan Laos

Di Thailand dan Laos, tradisi ini dikenali sebagai Bun Khao Pradab Din yang dijalankan dalam bulan September setiap tahun. Di Thailand, pemujaan ini terkenal di wilayah Timur Laut berbanding dengan di wilayah-wilayah lain. Khao Pradab Din ini bermaksud nasi yang dihalakan ke tanah semasa upacara pemujaan untuk penghormatan kepada anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Sesetengah orang menjalankan upcara ini pada sebelum subuh atau kebanyakannya menjalankan pemujaan pada siang hari. Bahan-bahan makanan seperti pulut, buah-buahan, ikan, manisan, pinang dan juga rokok disediakan dalam bekas yang diperbuat dari daun pisang. Kadang-kadang bahan-bahan ini dibawa ke biara. Bekas-bekas sembahan sajian ini diletakkan di tanah di luar rantau biara, dinding sempadan biara, atas tembok sekitar ubosot, bawah pokok besar atau digantung pada pokok-pokok besar. Baca lanjut di sini.

Di rantau selatan Thailand, penganut ajaran Buddha menjalankan Sarāda yang disebut dalam sebutan pelat bahasa Thai sebagai Sart. Perayaan ini merujuk kepada musim "bijirin masuk ke telinga" yang bermaksud tangkai padi sudah masak ranum serta sesuai untuk dituai. Buah-buahan di kebun pun mula terbit. Perayaan Sarāda ini adalah perayaan pertengahan tahun di Siam yang diadakan pada bulan mengambang penghujung bulan ke-10 kalender lunar. Ciri-ciri tantra terpapar jelas pada perayaan ini contohnya seperti perkaitannya dengan roh, semangat alam, binatang, tumbuhan dan lain-lain. Pemujaan nenek moyang dijalankan pada hari ke-15 waktu malam bulan mula bergerak gelap. Upacara tam bun atau menjana pahala akan dijalankan bagi kebajikan roh nenek moyang.

Di utara Thailand, perayaan Phī Tā Khon dijalankan di daerah Dan Sai, wilayah Loei. Namun perayaan ini berlangsung pada antara bulan Mac dan bulan Julai. Tarikh perayaan akan diputuskan oleh pawang di bandar tersebut.  Keseluruhan peristiwa ini disebut sebagai Bun Luang, iaitu sebahagian daripada hari menjana amalan baik. Ia disebut juga sebagai Bun Phavet.

Kemboja dan Myanmar

Di negara Kemboja, mereka merayakan perayaan Prochum-ben atau perayaan memberikan dana makanan kepada mereka yang memerlukan supaya pahala amalannya turut dinikmati oleh roh saudara-mara mereka yang telah meninggal dunia. Lanjut untuk amalan di Kemboja boleh dibaca di sini.

Di rantau Myanmar, keluarga diraja Burma dari dinasti Kobaung pernah menjalankan upacara pemujaan roh nenek moyang. Mereka membuka berhala emas raja-raja serta permaisuri yang telah mangkat sebanyak tiga kali dalam satu tahun. Pemujaan dijalankan pada tarikh tertentu oleh keluarga diraja sahaja, kemudian pemujaan dijalankan selepas perayaan Thingyan atau Sankranti dan pemujaan seterusnya pada sebelum atau selepas pembukaan musim hujan. Berhala raja-raja akan disimpan dalam bilik simpanan harta dan dipuja di Setawun Saung, Balai Rong Seri istana. Kini upacara pemujaan nenek moyang sudah tidak diamalkan di Myanmar kerana mereka berpegang dengan konsep anicca dan anatta yang mengajarkan bahawa tiada sesuatu pun dalam alam semesta ini yang kekal serta penafian diri. Penduduk Myanmar setakat pemerhatian pencatit ada menjalankan pemujaan terhadap Nat, iaitu penunggu di sesuatu kawasan. Kebiasannya, roh manusia yang meninggal turut berdiam dalam alam sekitar.

Rujukan Ajaran Buddha

Rujukan agama mengaitkan pemujaan ini dengan ajaran Buddha. Dalam satu sastera, disebut bahawa lima orang penganut berbincang dengan pretam. Diceritakan bahawa Phet Wuto, ketua bhiksu, pelayan raja dan hamba tentera diarahkan menjalankan perang. Pada malam hari, mereka terserempak dengan pretam semasa belayar dengan kapal. Hamba tentera dan pegawai raja bertanya, "Bagaimana caranya kami boleh sampaikan sembahan makanan kepada kamu?" Para pretam menjawab, "Hantar sahaja makanan kepada sesiapa dalam kalangan kamu yang menjalankan panchasilani atau arya marga dengan lengkap, kemudian serulah nama kami".

Sastera lain menyatakan bahawa dalam hari ke-15 bulan Bhadrapada, ketika hujan turun lebat sekali. Roh-roh mereka yang menderita dalam neraka akan dilepaskan untuk mencari saudara-mara mereka bagi menerima sembahan sajian makanan.

Jinapanjara Gatha


Jinapanjara Gatha ini bermaksud Gatha Penakluk Kurungan dan ia bukan sebahagian daripada Tripitaka. Ia muncul dari sutra tua yang diterjemah dan digubah semula oleh Buddhacarya Toh Brahmaramsi, seorang bhiksu di empayar Siam yang hidup sekitar abad ke-17 M dalam pemerintahan dinasti Chakri.

Menurut lagenda, Yang Mulia Guru Toh ternampak dewa Mahabrahma Jinapanjara yang pernah berguru dengan Mahamogallana. Dalam lagenda juga, diceritakan bahawa Mahamogallana meninggal dunia akibat kemalangan menyebabkan beliau tidak dapat menjejaki baginda Sidddhartha Gautama. Mahamogallana hanya mampu sampai ke seberang sahaja iaitu pantai Nirvana terakhir. Hal ini pun terjadi kerana karma baik beliau semasa hayat lampau membantu beliau. Roh Mahamogallana menjelma dalam alam dewata.

Justeru, nama gatha ini diberikan nama sempena nama Brahma dalam alam dewata tempat roh Mahamogallana terjelma. Kematian akibat kemalangan ini disebut sebagai tai-hong dalam bahasa Siam. Ia adalah keadaan ajal seseorang itu akibat kemalangan, kecuaian termasuklah juga perbuatan membunuh diri. Dalam kes Mahamogallana ini, beliau meninggal dunia akibat terbunuh disebabkan karma lampau beliau sendiri.

Membaca gatha ini membantu seseorang itu mengelakkan mara bahaya, bencana dan juga makhluk-makhluk halus yang jahat. Yang menghalang bencana itu bukanlah gatha ini, sebaliknya dharma agung sendiri yang terkandung dalam diri seseorang itu. Bacaan ini cuma peringatan sahaja kepada empunya tubuh. Bacaannya dalam aksara rumi dan juga pengertian diberikan di sini.

Rujukan
  • Bacaan Jinapanjara Gatha tradisional (youtube)
  • Bacaan Jinapanjara Gatha moden (youtube)
Tarikh: 15 Nov 2013

Saturday, July 8, 2017

Asalha Puja




Pada hari ini 8 Julai 2017 berlangsung perayaan Asalha Puja yang disambut oleh kaum selatan. Perayaan ini biasanya jatuh dalam bulan Julai, pada purnama kelapan kalendar lunar. Ia dirayakan di negara-negara yang majoritinya penganut ajaran Buddha seperti di Thailand, Sri Lanka, Kemboja, Laos dan Myanmar. 

Hari ini juga dikenali sebagai Hari Dharma. Ia disambut bagi mengingati wacana pertama baginda Buddha yang disampaikan kepada lima orang pengikut baginda. Baginda mewacanakan ajaran yang terbit hasil dari pencerahan yang diterima selepas semadhi baginda. 

Wacana pertama yang dikenali sebagai wacana "pemutar dharmacakra" itu merumuskan ajaran Buddha mengenai empat kebenaran mulia iaitu mengenai kewujudan:
  • dukkha, kesengsaraan jiwa dan raga disebabkan oleh;
  • tanha, keinginan dan idaman;
  • nibbana, tahap yang melangkaui kesengsaraan dan keinginan idaman; serta
  • arya marga, lapan jalan hidup mulia menuju ke nibbana
Kebanyakan tradisi dan aliran ajaran Buddha membincangkan hal-hal berkaitan dengan ajaran empat kebenaran yang mulia ini.  

Wacana pertama ini sebenarnya bukanlah satu-satunya perbincangan yang tersusun diberikan oleh baginda Buddha selepas pencerahan baginda. Ia turut mengandungi dasar bagi segala ajaran yang disampaikan oleh baginda selepas peristiwa ini. 

Kesemua lima pengikut baginda itu kemudian mengulangi kembali apa yang difahami oleh mereka dari ajaran yang telah disampaikan oleh baginda. Mereka memohon diterima sebagai pengikut baginda lantas diterima. Rentetan ini, susunan bhiksu pertama pun diasaskan.

Hari ini dilalui oleh penganut ajaran Buddha dengan menyampaikan dana kepada biara-biara dan mendengar wacana. Keesokan harinya iaitu pada 9 Julai 2017, akan berlangsung pula Hari Masuk Varsha iaitu para bhiksu akan bertapa sebentar dalam musim tengkujuh.   

Di Rembang Indonesia, perayaan ini berlangsung sekitar Candi Mendut, dekat dengan Candi Borobudur.

Gambar: Guide to the World's Biggest Buddhist Monument, Candi Borobudur, Magelang, Jawa Tengah, Indonesia (Pure Travel)
Video: Buddha Sasana (Central Javanese Gamelan), BDP Teamwork, 25 Aug 2013 (youtube

Tuesday, July 4, 2017

Krisis Kashmir Berpunca dari Kejatuhan Ajaran Buddha


Krisis Kashmir merupakan salah satu daripada isu yang meragut banyak nyawa, membazirkan masa, wang dan sumber kedua-dua republik India dan Pakistan sejak kemerdekaan dari empayar British.

Banyak peperangan yang pecah kerana isu ini namun masih belum kelihatan lagi jalan penyelesaian bagi isu ini. Wajar juga diberi perhatian bahawa asal usul masalah ini nampaknya timbul dari tercetusnya dua negara dari sebuah benua India yang satu pada tahun 1947.

Kebanyakan penduduk Kashmir sudah pun menganuti agama Islam sebelum penaklukan rantau Kashmir oleh maharaja Akbar pada 1557 M. Ia menjadi tempat bercuti musim panas bagi dinasti Moghul semasa pemerintahan maharaja Jahangir dan maharani Shahjehan. Nadir Shah kemudian menakluki Kashmir dan membawanya masuk ke dalam kerajaan Afghanistan pada 1639 M. 

Selepas penganut gerakan agama Sikh yang dipimpin oleh Guru Gobind Singh, Guru ke-10 dari Khalsa, satu dinasti Sikh telah diasaskan pula oleh raja Ranjit Singh di Punjab. Baginda turut menakluki Kashmir pada 1819 dan mengakhiri pemerintahan Muslim di Kashmir.
Komen aku di sini, nampak seperti pengarang rencana ini cuba untuk memberikan imej bahawa golongan Brahmin bertanggungjawab dalam kejatuhan ajaran Buddha serta perpecahan benua kecil India itu sendiri. 
Sumber: Ambedkar mengenai Kashmir